Apa? Pensyarah IT tidak tahu apa itu cPanel?

Apa? Pensyarah IT tidak tahu apa itu cPanel?

Wow! Nampaknya semakin hari semakin banyak beban yang perlu dipikul oleh pendidik kita. Adakah menjadi suatu kesalahan sekiranya pensyarah tidak mengetahui salah satu alat (tools) yang digunakan oleh syarikat-syarikat hosting?

Bagi yang tidak tahu pucuk pangkal kenapa catatan ini wujud, bolehlah merujuk portal Otakit.

cPanel, DirectAdmin dan Plesk merupakan alat yang digunakan oleh syarikat-syarikat hosting untuk kemudahan pelanggan mereka sahaja. Tuntutan industri agarĀ  universiti menyediakan apa yang industri mahu.

Universiti bukan ladang ternakan.

Universiti bukan ladang ternakan. Pelajar universiti tidak sepatutnya dilayan seperti haiwan ternakan yang dikurung, kemudian diberikan makanan sehingga gemuk (kerana kurang bergerak) hanya untuk dijual pada harga yang mahal.

Universiti sepatutnya menyediakan perkara asas kepada pelajarnya. Sebagai contoh, bagaimana merangka pangkalan data yang baik. Bukan bagaimana mahu menggunakan MySQL. Kalau saya bertanya sendiri kepada orang industri, adakah mereka mahir terhadap penggunaan semua produk pangkalan data? PostGres, MySQL, MariaDB, Oracle, SQL Server dan banyak lagi.

Orang industri tahu semua bahasa pengaturcaraan?

Orang industri tahu semua bahasa pengaturcaraan? Tuntutan industri sentiasa tidak adil untuk universiti. Alangkan dalam industri itu sendiri tak terkejar untuk menguasai segala macam perkembangan teknologi. Inikan pula kita mahu lambakkan kepada universiti.

Kadang-kadang didalam industri sendiri bergaduh bahasa pengaturcaraan mana lagi hebat, framework mana lagi bagus, dan pangkalan data mana lebih stabil. Adakah adil pihak industri mahu menyalahkan universiti?

Latihan.

Latihan adalah kunci kepada kemahiran menguasai alat-alat yang diperlukan oleh industri. Jadi, industrilah yang bertanggungjawab untuk melatih tenaga mahir mereka sendiri. Universiti sepatutnya masih kekal menjadi tempat menimba ilmu dan menyediakan pelajar dengan perkara asas supaya pelajar ini dicampak kemana pun masih hidup.

Apa yang universiti boleh lakukan dan industri boleh tawarkan?

Apa yang universiti boleh lakukan dan industri boleh tawarkan? Pihak universiti boleh berkolaborasi dengan kumpulan IT JomWeb untuk mengadakan bengkel ataupun taklimat. Pensyarah juga boleh turut serta dalam JomWeb.

Pihak industri pula, rajin-rajinkan diri menyumbang apa yang mampu demi kemajuan IT negara. Salah satu darinya dengan menaja aktiviti-aktiviti JomWeb.

Saya orang industri yang lahir dari didikan sebuah universiti tempatan. Saya bersyukur ketika di universiti, pensyarah tidak ajar saya menggunakan alat. Tetapi mengajar saya bagaimana untuk terus kekal releven didalam dunia IT.