UNITEN – Projek Sarjana Muda (Poster Evaluation)

Alhamdulillah.
 
Tahniah buat UNITEN kerana membuka pintu untuk industri dan komuniti berkolaborasi. Setidak-tidaknya pelajar dapat belajar sedikit sebanyak dunia yang bakal mereka hadapi apabila berkerjaya kelak.
 
Hari ini juga secara tidak langsung menjadi peringatan kepada aku. Bagaimana kita sering buat produk syok sendiri. Begitu juga pelajar-pelajar ini, ada diantara mereka yang buat produk syok sendiri meskipun telah ditegur oleh penyelia masing-masing. Kesalahan paling ketara adalah kurangnya kajian kes. Ada diantara mereka melakukan kajiselidik kepada bukan golongan sasaran. Oleh kerana itu set data yang ada, tidak boleh diterima pakai untuk proses validasi nilai komersil.
 

Pelajar-pelajar ini juga mengingatkan aku tentang kekangan masa. Ada diantara mereka mempunyai tajuk projek yang agak menarik dan mempunyai nilai komersil, tetapi aku tidak merasakan ianya sempat siap dalam masa 6 bulan. Facial recognition untuk mengenalpasti identiti seseorang juga bukan mudah. Perlu ada data terlatih. Looksery (baca : sini )sebuah startup yang dibeli oleh Snapchat, menggunakan crowdsourcing power untuk melatih data mereka. Ingat macam mana kita tidak merancang dengan baik agar timeline projek kita lebih masuk akal?

Teknologi. Ya, ramai diantara pelajar ini terkejut bila aku bercerita teknologi yang mereka perlu pakai untuk menyiapkan projek akhir mereka nanti. Jangan katakan pelajar, kita sendiri kadangkala tidak melakukan kajian yang mencukupi untuk menentukan teknologi apa yang boleh diterima pakai. Ini akan menjadi masalah yang dinyatakan awal tadi, iaitu salah perancangan timeline. Selalunya pengaturcara menghadapi masalah kerana idea atau halatuju produk itu datang dari orang yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai IT secara meluas. Kalau kamu seorang ketua yang seringkali ‘over committed‘ pada klien, atau selalu tidak menerima cadangan dari pengaturcara kamu. Ketahuilah, kamulah yang membuatkan hidup pengaturcara sengsara.

Semoga kolaborasi seperti ini, dapat dipanjangkan juga ke IPTA serta IPTS yang lain. JomWeb insyaAllah akan turun padang sekiranya mempunyai kelapangan.

Pastikan terma anda betul

Lama sungguh mengabaikan perkongsian ilmu di blog ini. Catatan kali ini ditujukan buat para bakal graduan/graduan/sesiapa yang ingin berkecimpung dalam bidang pengaturcaraan. Kenapa penggunaan terma yang betul perlu dititik-beratkan?

Bayangkan, anda memohon untuk bekerja sebagai Pengaturcara PHP. Bila penemuduga bertanyakan pada anda apa itu PHP dan anda menjawab “Pangkalan Data”, sudah pastinya anda tidak akan mendapatkan jawatan itu. Baiklah, mungkin anda akan tetap dapat jawatan tersebut, tetapi kalau penemuduga itu adalah saya, soalan-soalan seterusnya saya tidak akan tanya.

Kemudian anda ingin melakukan carian dilaman sesawang, Google misalnya. Pada saat ini anda ingin menyelesaikan permasalahan pengaturcaraan dan anda menemui jalan buntu.  Anda taip “Bagaimana mahu jana data menggunakan php dan phpmyadmin”.  Kalau anda bernasib baik, akan wujudlah jawapan kepada permasalahan yang awak cuba selesaikan (setelah tekan halaman yang paling belakang misalnya). Kita tolak ketepi sifat husnuzon dan membuat andaian anda tidak berjaya menemui jawapan yang diingini. Anda akan beralih bertanya di forum ataupun ‘group’ di Facebook.

Apabila anda bertanya di forum/’group’, anda masih menggunakan soalan yang sama, kemungkinan besar anda akan di’troll’ (oleh saya) atau akan dibetulkan terma yang diguna-pakai(kalau emosi saya stabil) atau ada insan lain yang bermurah hati untuk memahami masalah anda.

Sekarang sudah nampak kepentingannya?

1. Pelayan Web (Webserver).
– Diperlukan untuk melakukan penghantaran halaman sawang(web page) kepada pelayar(browser) melalui internet.
– Contoh pelayan web adalah Apache,Nginx,IIS dan GWS.

2. Pangkalan Data (Database)
– Satu koleksi data yang disimpan dengan teratur. Pangkalan data tidak semestinya dalam bentuk perisian.
– Contoh menyimpan rekod perbelanjaan bulanan. Susun cantik-cantik dalam kertas. Ini juga satu contoh pangkalan data.

3. Sistem Pengurusan Pangkalan Data (DBMS)
– Merupakan satu perisian menguruskan pangkalan data agar boleh berinteraksi dengan pengguna.
– Contoh MySQL, Oracle, MongoDB dan lain-lain

4. Bahasa pengaturcaraan (Programming Language)
– Benda yang anda kod untuk buat sistem, web dan lain-lain
– Contoh PHP, ASP.NET, JSP, JAVA,PHYTON dan lain lain

5. IDE (Kalau di melayukan buruk sangat bunyinya)
– Alat untuk pembangunan perisian. (Kalau takrifan sebenar lain dan panjang)
– Contoh Notepad++, Dreamweaver, Sublime, Zen Studio dan lain lain.

Jadi harapnya selepas ini tidaklah keluar soalan/jawapan “saya guna Xampp/Wamp sebagai database/server”.

DRY – Don’t repeat yourself.

Dalam konteks pengaturcaraan, ini melibatkan proses perancangan dan juga proses perlaksanaan. Sebagai contoh, kita mahu memaparkan senarai peserta tadarus, apa yang perlu kita buat adalah buat satu fungsi untuk memanggil data dari pangkalan data. Fungsi ini sepatutnya boleh dikongsikan/digunapakai oleh fungsi-fungsi lain.

Jadi kita tidak perlu membuat pernyataan SQL yang sama berulang-ulang kali. Itu yang dimaksudkan dengan ‘Don’t Repeat Yourself’.

DRY tidak sama sekali bermaksud, kalau sudah buat validasi di bahagian PHP, kita tidak perlu buat validasi di JAVASCRIPT. Javascript untuk UI, pengguna tak perlu menunggu borang disubmit kemudian dapat respon, ‘Maklumat tidak berjaya disimpan, data A wajib diisikan’.

Jadi apa perlunya validasi pada PHP sekiranya sudah ada validasi JAVASCRIPT. Jawapannya mudah, orang boleh off JAVASCRIPT pada pelayar bila-bila masa yang dia suka. Validasi pada PHP adalah bertujuan menjaga sistem kamu sendiri dari menerima data yang tidak lengkap dan juga kemungkinan di HACKED.

Konsep DRY yang boleh dipraktikkan dalam fungsi validasi adalah, kita buat satu fungsi validasi yang boleh digunakan oleh mana-mana form dalam html kita. Ya itu namanya DRY. Kita tak buat atau copy&paste kod JAVASCRIPT ke setiap form kita.

Dengan ini saya mengharapkan tiada lagi orang yang salah faham akan konsep DRY ini.

p/s : Itu sebab orang cipta framework, sebab nak elak buat code yang sama lebih dari sekali.

Tamatnya PHPMeetup 2012 | Api Mashup

Alhamdulillah, sungguhpun dihimpit kesibukan kerja, Allah masih mengizinkan saya menganjurkan PHPMeetup 2012 bersama-sama rakan yang lain.

*Abaikan banner yang tidak cantik itu, kerana banner itu dibuat oleh saya sendiri.

 

Terima kasih kepada Dewman, RafiCyber, Nurul, Hizam dan Errazudin kerana sudi membantu dalam menjayakan PHPMeetup 2012. Seperti tahun-tahun yang lalu, PHPMeetup 2012 telah berkolaborasi dengan MIMOS Berhad.

Dari segi kelancaran aturcara, alhamdullilah segalanya lancar. Dengan adanya Dewman, RafiCyber dan Nurul, saya dan Hizam tidaklah terlalu terbeban dengan tugas-tugas yang perlu diusaikan.

Terima kasih kepada penaja-penaja yang menaja acara kali ini.

1.MIMOS
2.Art in Software
3.Altfa Technologies
4.Fuse Technologies
5.TM Applied Business

Terima kasih juga kepada Rynet Malaysia dan Zend Solution kerana menyokong acara kali ini.

Tidak dilupakan, terima kasih kepada semua yang secara sukarela menjadi pembentang berkaitan tajuk masing-masing.

Bagi yang tidak hadir, anda kerugian kerana tidak dapat merasai nasi tomato yang sangat sedap serta anda tidak berpeluang memiliki mug PHPMeetup 2012. Ianya tidak dijual dimana-mana.

Kepada semua yang hadir, sebarang kekurangan saya mohon ampun dan maaf. InsyaAllah, tahun depan kita berjumpa kembali.