FB Chat Bar yang lama

Guna plugin ini untuk firefox
https://addons.mozilla.org/en-US/firefox/addon/fb-chat-sidebar-disabler/

dan anda akan dapat semula fb chat bar yang dahulu.

PHP Meetup 2011 – Framework Shootout (Dari mata penganjur)

Kembali bersiaran dari ruangan yang sudah bersawang ini. Alhamdulillah, sudah seminggu berlalu sejak PHP Meetup 2011 berlangsung. Dari kaca mata saya selaku penganjur, ada ruang yang masih boleh saya dan juga zam3858 perbaiki. Jika mengikutkan pendaftaran rasmi pada hari itu, seramai 148 orang yang hadir. Haruslah diingatkan, ada juga diantara hadirin yang tidak mendaftar.

Bagi mereka yang tidak tahu, acara ini telah dianjurkan oleh komuniti PHP.net.my dengan kerjasama PHPCOE, Mimos Bhd. Penganjur ada 2+1 iaitu saya, zam3858 dan juga saudara Errazudin dari PHPCOE.

Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan penaja untuk acara kali ini. Experian Hitwise, Jmobile Sdn Bhd, Aist serta Primuscore. Terima kasih juga kepada para sahabat yang sudi berkongsi ilmu pada hari tersebut dan mengorbankan sabtu kalian untuk berehat.

Terima kasih juga kepada para hadirin yang juga sanggup memberikan sokongan pada acara kali ini. Selaku penganjur, saya amat terharu dengan jumlah kehadiran yang melangkaui jangkaan kami. Disini, saya ingin berkongsi sedikit apa yang berlaku sebelum 19/02/2011.

Semuanya bermula apabila saya, zam3858 dan hymns duduk minum dan terfikir. Tahun ini bila nak buat meetup? Zam3858 mencadangkan ianya diadakan 2 kali. awal tahun dan juga hujung tahun. Setelah bertanyakan pada teman-teman yang akan berkongsi ilmu, maka sebulat suara 19/02/2011 adalah tarikh yang sesuai.

Masa itu tinggal 3 minggu lagi sebelum hari berlakunya meetup. Yang menjadi kerisauan kami ialah kehadiran dibawah 50 orang. Tiada maknanya acara ini diadakan tanpa kehadiran peserta bukan?

Ketahuilah, mug untuk 50 orang pertama yang datang pada hari itu, hanya berjaya ditempah 3 hari sebelum hari meetup. Yeah kerja gila. Apa yang saya dengan zam3858 lakukan? Kami hanya berdua dan perlu menguruskan segalanya, ini kerja tidak bergaji, jadi pada masa yang sama kami juga perlu menyelesaikan kerja-kerja hakiki kami 🙂 Terima kasih kepada Salimi dari AIST kerana membuat rekaan yang cantik untuk poster serta mug. Terima kasih kepada Marcel Leng kerana mendapatkan tajaan dari Experian Hitwise. Terima kasih kepada Azrad kerana mendapatkan tajaan dari Primuscore. Terima kasih kepada Misbah, kerana mendapatkan tajaan dari Jmobile. Terima kasih juga kepada Amran kerana mendapatkan tajaan dari AIST.

Jika ada yang mengatakan acara pendaftaran pada hari meetup tidak berapa efisien, maafkan kami kerana kami berdua hanya tidur jam 3 pagi sehari sebelumnya :).

Maafkan juga makanan tidak mencukupi

Maafkan juga mug hanya untuk 50 orang. Itu sahaja yang kami mampu berikan. Ada rezeki akan datang, mungkin kami mampu memberikan mug atau tshirt untuk semua orang. 🙂

Selaku pengerusi majlis (sudah 2 tahun berturut-turut) maafkan saya sekiranya ada tersalah kata ketika mengacarakan PHP Meetup 2011 – Framework Shootout. Sekiranya ada diantara kalian yang hadir ingin menjadi pengerusi majlis pada masa akan datang, bolehlah hubungi saya 🙂

Ulasan dari kaca mata peserta

– http://noneey.blogspot.com/2011/02/php-meetup-2011-framework-shootout.html
– http://ismailsaleh.net/2011/02/28/php-meetup-framework-shootout-19-feb-2011-mimos/
– http://raficyber.blogspot.com/2011/02/php-meetup-2011-framework-shootout.html
– http://dewmandew.blogspot.com/2011/02/jom-bergaduh.html
– http://www.zakiyusof.com/2011/02/php-meetup-2011/
– http://www.munzir.net/entry/php-meetup-2011-malaysia
– http://kulainicknameku.blogspot.com/2011/02/php-meetup-2011-framework-shootout.html

Ulasan dari kaca mata presenter – http://azrilnazli.blogspot.com/2011/02/php-shootout-2011.html

Saya amat berharap dapat berjumpa dengan kalian pada acara seterusnya.

Membina Bukutamu Bahagian 1 (Perancangan)

Artikel kali ini akan menceritakan bagaimana mahu membina bukutamu (guestbook). Bahagian 1 akan menceritakan bagaimana mahu merancang perjalanan bukutamu tersebut.

Bagi pembangun yang sudah mahir, membina bukutamu adalah sangat mudah. Untuk mereka yang tidak mempunyai asas, membuat bukutamu sudah cukup untuk membolehkan kamu memahami konsep asas iaitu cipta, kemaskini dan padam data yang ada didalam pangkalan data. Nama ringkas proses ini didalam bahasa Inggeris adalah CRUD dimana CR-Create, U-Update dan D-Delete. Sekiranya kamu terjumpa istilah CRUD ini dimana-mana laman sawang, janganlah terkejut.

Mengumpul keperluan.

Mengumpul keperluan serta spesifikasi sistem adalah proses asas dalam mana-mana pembangunan sistem. Mengumpul data serta spesifikasi yang betul dapat memudahkan proses pembangunan sistem kelak. Memandangkan kita hanya mahu membuat bukutamu. Maka tanya diri sendiri. Apa data yang kita nak simpan?

1. Nama / katanama
2. Alamat Emel
3. Alamat Laman Sawang
4. Komen

Aliran proses.

Setelah kita kenalpasti data apa yang ingin disimpan, Tentukan aliran proses bagi setiap proses yang ada. Cipta, Kemaskini dan Padam.

1. Cipta
Penguna masuk ke bukutamu -> Isikan semua maklumat yang diperlukan -> Pengguna klik pada butang simpan -> Simpan semua maklumat didalam pangkalan data.

2. Kemaskini
Pengguna masuk ke bukutamu -> Klik pautan kemaskini pada komen yang ingin dikemaskini -> Pengguna lakukan pembetulan -> Pengguna klik butang simpan -> Kemaskini maklumat yang berkaitan di dalam pangkalan data.

3. Padam
Pengguna masuk ke bukutamu -> Klik pautan padam pada komen yang ingin dipadam -> Paparan kepastian sama ada pengguna benar-benar mahu memadam rekod -> Jika ya padam rekod jika tidak balik ke halaman asal.

Membina Pangkalan Data

Dari proses mengumpul keperluan, kita sudah boleh mula membina pangkalan data. Bahagian ini kamu perlu lakukan sendiri, dan bezakan pangkalan data kamu dengan pangkalan data yang telah saya dibuat di bahagian kedua nanti.

Ingat nama jadual dan medan seharusnya mencermin entiti dan membawa maksud kepada data yang disimpan. Pastikan semuanya huruf kecil. Sekiranya nama medan memerlukan lebih dari 1 perkataan gunakan tanda _. Contoh laman_web.

3 proses ini merupakan proses asal dalam membina mana-mana sistem. Bagi graduan yang baru keluar dari Universiti, latih diri kalian dengan konsep ini. Menjadi pengaturcara bukan sekadar membuat kod semata-mata. Tetapi pengaturcara haruslah terlibat sama didalam proses perancangan sistem.

Selamat mencuba!

Menjadi pengaturcara yang baik

Pada tahun 1999 aku menjejakkan kaki ke Universiti Teknologi Malaysia dan mendapat jurusan yang aku sendiri tidak tahu apakah ianya. Komputer Sains. Aku mendapati aku memang tiada langsung minat dalam bidang ini. Bahasa pengaturcaraan yang pertama aku belajar adalah PASCAL.

Keputusan peperiksaan semester 2 menyebabkan aku hampir-hampir ditendang dari UTM. Ianya membuatkan aku tersedar. Aku perlu lakukan sesuatu. Aku mula memupuk minat terhadap Komputer Sains.

Pada aku pengaturcaraan adalah salah satu cabang seni. Kamu akan dapati setiap orang mempunyai cara pengaturcaraan yang berbeza (melainkan kamu hanya menyalin kod aturcara orang lain).

Ada beberapa perkara yang perlu kamu lakukan sekiranya kamu mahu menjadi seorang pengaturcara yang baik.

1. Kenali masalah kamu.
Kamu harus mengenalpasti masalah kamu sebelum kamu bertanya kepada orang lain. Ini perlu kerana kamu perlu melakukan kajian sebelum kamu mahu bertanya kepada orang lain. Sekiranya kamu sendiri tidak mengetahui masalah kamu, bagaimana kamu mahu melakukan kajian? Lebih teruk lagi orang lain tidak akan dapat membantu kamu kerana kamu tidak menjelaskan masalah kamu dengan baik.

2. Buat kajian sebelum bertanya.
Google  merupakan alat terbaik untuk membuat kajian. Yang kamu perlukan adalah katakunci. Jangan gunakan alasan terlalu banyak penyelesaian yang terdapat di Google dan kamu tidak tahu yang mana satu yang mahu kamu gunakan. Sekiranya kamu kenali masalah kamu, insyaAllah kamu mampu memilih penyelesaian yang mana yang paling hampir dengan apa yang kamu perlukan. Seandainya kamu masih tidak mampu memilih, cuba sahaja kesemua penyelesaian yang diberikan.

3. Sertai komuniti
Kamu perlu menyertai sesuatu komuniti agar kamu dapat bergaul dengan pengaturcara yang lain. Di Malaysia komuniti pengaturcara PHP sudah lama diwujud(http://php.net.my). Jangan sesekali kamu bertanyakan soalan yang terlalu mudah. Oleh kerana itu sila lakukan beberapa carian sebelum kamu mahu bertanya. Bayangkan kalau ada 1000 orang yang bertanyakan soalan yang sama, ini bermakna 1000 kali juga orang yang menjawab perlu menaip jawapan yang sama. Adilkah kerana kemalasan kamu, kamu menyusahkan orang lain?

Pastikan soalan kamu disesebuah komuniti itu jelas. Tolong orang lain untuk mereka tolong kamu. Jika kod kamu ada ralat, nyatakan apa ralat itu. Ataupun jangan sesekali kamu meletakkan kod kamu di forum dan mengatakan “Ini kod saya, tolong semak.” Tanpa menceritakan dengan teliti apakah yang kamu cuba lakukan dan apakah masalah yang kamu hadapi. Mereka tiada deria ke 6!

4. Lakukan kesilapan
Rajinkan jari-jemari kamu mengubah kod aturcara yang terdapat di internet dan biarkan ianya ada ralat. Dengan cara ini kamu belajar untuk memahami apakah yang silap sehinggakan mesej ralat tertera di pelayar kamu. Tidaklah ketika kamu melakukan kod aturcara kamu sendiri dan terdapat ralat, kamu menjadi kelam-kabut kerana tidak mengetahui apakah masalahnya.

5. Mudah
Gunakan nama fail yang menggambarkan fungsi fail tersebut. Namakan pembolehubah dengan perkataan yang mudah kamu kenalpasti apakah nilai yang dipegang oleh pemboleh ubah tersebut. Cuba ringkaskan kod aturcara kamu semudah yang mungkin. Lebih ringkas kod kamu, lebih kurang ralat yang bakal kamu hadapi.

6. Latih minda
Latih minda kamu untuk menyelesaikan masalah. Pengaturcaraan adalah idea menyelesaikan masalah. Bila ada masalah kamu harus selesaikan. Fikirkan sesuatu yang baru. Jangan sesekali menjadi katak di bawah tempurung.

7. Membaca
Mahu atau tidak kamu harus membaca. Teknologi laman web bergerak dengan pantas. Jadi kamu pasti tidak mahu ketinggalan. Tiada cara untuk kamu terus mengikuti perkembangan ini melainkan membaca. Tidak kisahlah sama ada dari buku mahupun artikel-artikel yang terdapat di internet.

8. Fokus
Kamu perlu fokus terhadap apa yang kamu lakukan. Jangan amalkan keputusan seminit. Sekejap kamu mahu lakukan sebegitu sekejap kamu mahu lakukan sebegini. Sudahnya kod aturcara kamu asyik berubah dan kamu masih ditakuk itu sahaja. Pilih satu bahasa pengaturcaraan untuk kamu kuasai sepenuhnya. Kebanyakan syarikat mencari pakar untuk sesuatu bahasa pengaturcaraan itu dari seorang pekerja yang tahu banyak bahasa pengaturcaraan tapi hanya asasnya.

9. Rendah diri
Dekatkan diri kamu dengan Allah(sekiranya kamu seorang Islam). Doa dapat membantu kamu. Percayalah, sekiranya niat kamu membuat kod aturcara itu kerana Allah Taala, insyaAllah kamu akan jumpa dengan jawapannya. Jangan sesekali kamu merasakan kamu sudah cukup pandai dan tidak memerlukan orang lain. Kamu tidak akan kemana dengan sikap sebegitu. Malang sekali seandainya kamu bongkak dan takbur untuk memohon pertolongan dariNYA.

10. Ilmu perlu dikongsikan
Ilmu perlu dikongsikan sekiranya kamu mahu ilmu kamu tidak hilang dan akan bertambah. Kamu ada satu ilmu dan aku ada satu ilmu. Bila kita berkongsi kamu akan ada 2 ilmu dan begitu juga aku. Bayangkanlah sekiranya semua orang menjadi kedekut ilmu. Adakah kamu rasa kamu akan mampu mempelajari semua yang kamu ketahui?

Hello World!

<?php
    echo 'Hello World';
?>

Hello world! A common text that being used for a starter to learn programming. I’ll try my best to keep this site updated and everything that i know and i will in programming. InsyaAllah.

I still didn’t decide which language I want to use. English or my first languange Bahasa Melayu. My English wasn’t so good *sigh*. So most probably i will write this blog in Bahasa Melayu.

So welcome to my world!

HELLO WORLD!